Monday, May 25, 2009

Visi dan Misi

VISI SEKOLAH

Al-Falah Cemerlang 2010

MOTO

“Akhlak Cemerlang, Akademik Gemilang”

MISI SEKOLAH

Melahirkan pelajar berilmu, beriman dan beramal soleh.
Melahirkan pelajar berakhlak mulia dan berdaya saing tinggi.
Menjana kepimpinan yang cekap dan beramanah di kalangan pelajar.
Mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.
Memberi pendidikan yang sempurna dan berkualiti.
Mendidik dengan ikhlas, jujur dan penuh kasih sayang kearah mencapai perkembangan yang seimbang dalam bidang intelek, emosi, rohani dan jasmani.

OBJEKTIF

Meningkatkan kualiti pendidikan dari segi kurikulum dan sahsiah dari semasa ke semasa
Meningkatkan semangat cinta akan sekolah dan perasaan kekeluargaan dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan
Meningkatkan perhubungan yang akrab dengan masyarakat setempat menerusi permuafakatan
Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sekolah ini

Friday, May 22, 2009

Sejarah Sekolah

Sekolah Menengah Agama Al-Falah diasaskan dengan kerjasama dari orang-orang kampung. Dari sini terbentuknya sebuah jawatankuasa untuk mendirikan sekolah ini. Derma-derma dikutip daripada orang ramai bertujuan untuk mendirikan bangunan sekolah. Jawatankuasa ini diketuai oleh Dato' Khalid bin Haji Abdul Rahman dan beberapa ahli jawatankuasa, antaranya ialah Sheikh Omar, Pak Su Kar, Haji Wan Yahya dan lain-lain. Melalui sepakat yang padu, jawatankuasa bersetuju membeli sebuah rumah dari Kampung Patoh, Hulu Kemaman untuk dijadikan sekolah. Setelah rumah itu dialih, ia dibawa ke tapak sekolah melalui Sungai Kemaman. Perjalanan melalui sungai ini mengambil masa selama satu hari. Tapak asal sekolah ini merupakan kawasan hutan paya dan semak samun.


Setelah selesai didirikan semula rumah ini, sekolah ini diberi nama "Madrasah Al-Falah". Pada awal penubuhan sekolah ini, hanya terdapat seorang sahaja guru iaitu Ustazah Hajjah Sepiah binti Abas dari Sumatera(Kini berada di Kuala Terengganu). Sambutan pada peringkat awal adalah sangat menggalakkan dari kaum ibu menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini. Pada tahun pertama, lebih kurang enam puluh orang murid yang kesemuanya perempuan. Bahasa pengantar pada masa itu ialah Bahasa Arab.

Guru yang pertama merupakan seorang guru yan berpengalaman kerana beliau pernah bertugas di Pasir Mas, Kelantan. Setelah sebelas tahun berada di Kelantan, beliau berhajat untuk pulang ke Sumatera tetapi belum sempat berbuat demikian, beliau bertemu dengan Dr. Burhanuddin Helmi. Dr. Burhanuddin Helmi telah memujuknya supaya tinggal di Terengganu dan mengajar di sini. Beliau bersetuju untuk mengajar
dan telah ditempatkan di Madrasah Al-Falah.

Melalui kesedaran yang mendalam di kalangan penduduk terhadap agama, maka ramailah anak-anak mereka dihantar ke sekolah ini. Setelah beberapa tahun sekolah ini ditubuhkan barulah pelajar lelaki diambil belajar di sini. Ramai di antara bekas pelajar telah berjaya dalam pelajaran dan bertugas dengan pemerintah.
Perkembangan sekolah ini terus maju ke hadapan dan pada 8 Februari 1944 sekolah ini dibuka dengan rasminya.